Connect with us

Semasa

Macam tak kisah meniaga sesuka hati,Pati hijrah ke ‘port’ baharu pula

Published

on

SELEPAS menguasai dan ‘menjajah’ beberapa lokasi utama sekitar ibu negara, warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (Pati) kini dikesan mula ‘beralih angin’ menjadikan pinggir bandar sebagai penempatan mereka.

Beberapa lokasi di Sungai Buloh, Sungai Besi, Pekan Subang Lama, Kepong, Gombak, Kajang, Subang Jaya, Serdang dan Klang kini mula dipenuhi warga asing yang dilihat berkeliaran di kawasan berkenaan.

Tinjauan Harian Metro di semua lokasi terbabit mendapati kawasan itu boleh diibaratkan sebagai ‘kampung’ bagi warga asing.

Pemerhatian wartawan mendapati di Kampung Baru Sungai Buloh terdapat pasar harian digelar ‘Pasar Bangla’ wujud rentetan dikuasai kumpulan terbabit selain penempatan mereka dilihat sekitar kilang di kawasan berkenaan.

Di beberapa kawasan lain, premis perniagaan dimonopoli pendatang Indonesia, India, Thailand, Myanmar, Vietnam dan Kemboja yang mengendalikan perniagaan secara terbuka, bahkan mampu menggaji pendatang lain.

Selain kedai makan dan restoran, jenis perniagaan diusahakan mereka termasuk kedai jahit, kedai runcit dan dobi.

WARGA asing bebas bergerak seolah-olah seperti di kawasan kampung mereka.

Ketika tinjauan dilakukan, warga asing terbabit dilihat kebal dan tidak takut dengan tindakan undang-undang yang bakal dihadapi malah, mereka dilihat bebas bergerak seolah-olah ia memang kawasan kampung mereka.

Buktinya, lensa kamera jurugambar merakam aktiviti mereka yang dilihat ‘selamba’ dan bebas menjalankan perniagaan di premis masing-masing tanpa rasa takut.

Seorang penduduk tempatan, Mohd Fadli Hamzah, 42, mendakwa pasar di Kampung Baru Sungai Buloh bukan baru bagi warga asing yang tinggal di kawasan berkenaan.

“Sudah beberapa kali video berhubung penempatan dan pasar berkenaan ditularkan namun sehingga kini masih belum diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Paling tidak masuk akal apabila premis milik warga tempatan diperiksa, tetapi premis warga asing yang terletak kira-kira 500 meter tidak periksa,” katanya.

Menurutnya, penduduk sekitar termasuk penduduk di Kampung Paya Jaras kini mula rimas dengan kehadiran warga asing yang ramai di kawasan berkenaan.

“Memang diakui kawasan ini adalah kawasan industri, tetapi adakah semua warga asing berkenaan mempunyai permit yang sah?

“Ketika wabak Covid-19 melanda ini, mereka dilihat semakin ramai mungkin kerana banyak kilang yang tutup dan tidak menjalankan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan wartawan di Pekan Sungai Besi, dekat sini, yang terkenal dengan kedai jahitan dikendalikan warga asing mendapati, kebanyakan premis tidak dibuka berkemungkinan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan sekarang.

Hanya tiga kedai jahit dilihat masih beroperasi dan ia dikendalikan warga asing. Namun, dalam premis itu dilihat menggantung lesen milik warga tempatan.

Status sama ada pemilik asal premis itu menggaji warga asing ataupun pekerja asing terbabit menggunakan lesen warga tempatan tidak dapat disahkan.

Malah, ketika wartawan bertanya kepada warga asing terbabit, rata-rata mereka hanya mendiamkan diri.

Namun, penduduk sekitar yang enggan dikenali memberitahu wartawan bahawa, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu premis jahitan sepanjang laluan utama pekan berkenaan masih dikendalikan ramai warga asing biarpun lokasi sama pernah diserbu pihak berkuasa sebelum ini.

Selain kedai jahit, wartawan juga mendapati terdapat kedai runcit dikendalikan warga asing di pekan itu.

Penguasaan warga asing ini mencetus kebimbangan bukan saja mengenai kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing, malah, turut mencetus pelbagai risiko termasuk dari segi sosial, jenayah dan kesihatan ketika wabak Covid-19 melanda negara ketika ini.

5 juta warga asing tinggal secara hram

Seramai tujuh juta warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (Pati) dan pelarian direkodkan tinggal di negara ini sehingga awal tahun lalu.
Perkara itu direkodkan hasil kajian sejak dua tahun lalu yang dilakukan Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF).

Pengerusinya, Halim Ishak berkata, daripada bilangan itu kira-kira lima juta warga asing tinggal secara haram dan tidak mempunyai permit kerja sah di seluruh negara.

“Isu Pati bukan perkara baharu namun jumlah mereka dilihat semakin meningkat sejak dua tahun lalu disebabkan beberapa faktor antaranya integriti pasukan penguatkuasaan.

“Angka yang tinggi ini menunjukkan penguatkuasaan yang lemah dari segelintir individu yang mempunyai kepentingan dan seolah-olah mempunyai kelompongan dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap warga asing,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Halim turut mendedahkan hampir keseluruhan warga asing yang berada di negara ini bakal dikategorikan sebagai Pati kerana gagal memperbaharui permit kerja yang sah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

“Pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini menyerlahkan lagi kehadiran warga asing yang tiada dokumen. Kita dapat lihat operasi dijalankan pihak berkuasa di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Tidak dinafikan penguatkuasa memang menjalankan operasi namun operasi berkenaan perlu menyeluruh dan tidak bermusim,” katanya.

Apa Pendapat Anda Dah Baca, Jangan Lupa Komen Yang baik baik je. Terima Kasih.

Sumber : hmetro

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending