Connect with us

Semasa

Terkini 3 Negeri Ini Ada Kes Positif Covid-19 Kluster Sivagangga; Dr Adham

Published

on

Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan hanya tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, merekodkan individu positif Covid-19 dari Kluster Sivagangga, kata Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata satu kes positif Covid-19 yang dilaporkan dari kluster sama di Selangor semalam, masih dalam siasatan, manakala dua kes di Perak merupakan kes Influenza-Like Illness (ILI).

“Sehingga semalam, kita dapati Kluster Sivagangga yang bermula di Kedah telah menular ke Kubang Pasu, Padang Terap dan Kulim. Oleh kerana Kubang Pasu berjiran dengan Kuala Sanglang di Perlis, maka Perlis ada kes dan yang terkini ialah Sungai Bakap di Pulau Pinang.

“Kita masih meneruskan usaha dan kita minta mana-mana individu yang merasakan diri mereka ada kontak dengan Kluster Sivagangga, bermula 13 Julai hingga sekarang untuk tampil ke hadapan, kerana kluster ini melibatkan bukan sahaja pengunjung

kedai tersebut, tetapi ada antara mereka merupakan pemandu lori dan mereka balik ke kawasan masing-masing,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Klinik Kesihatan Jenis Dua (Delima) di Batu Berendam, di Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kementerian Kesihatan sedang berusaha mengawal sepenuhnya penularan wabak Covid-19 melibatkan kluster berkenaan, menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar di kawasan terlibat.

Katanya, pengesanan kontak dan saringan melibatkan seramai mungkin yang mempunyai simpton atau bergejala berkaitan kluster Sivagangga perlu dilakukan, bagi memastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, sehingga kini Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga, mencatat 43 kes positif Covid-19.

Dalam perkembangan lain Dr Adham berkata, Kementerian Kesihatan akan menyemak semula sistem pendawaian, termasuk perangkap kilat di 46 hospital yang berusia lebih 50 tahun di seluruh negara secara berperingkat, bagi mengekang sebarang insiden buruk seperti kebakaran dan gangguan ketika pembedahan sedang berlangsung.

Beliau berkata, salah satu hospital iaitu Hospital Sultanah Aminah di Johor yang kini berusia lebih 100 tahun, akan dilaksanakan pendawaian semula melibatkan kos projek berjumlah RM114 juta, yang akan dimulakan dalam masa terdekat.

“Kita akan masukkan senarai 46 hospital berkenaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan di peringkat kerajaan khususnya Unit Perancang Ekonomi, telah memberi persetujuan untuk kita memulakan permohonan bagi kerja membaik pulih sistem pendawaian.

“Apabila lebih 50 tahun, bermakna kita kena semak balik sistem pendawaian termasuk perangkap kilat, kerana bekalan elektrik tidak boleh terputus ketika pembedahan sedang dijalankan, atau sekiranya pesakit Covid-19 sedang menggunakan ventilator atau pesakit sedang menjalani rawatan hemodialisis,” katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata Klinik Kesihatan Batu Berendam, yang kos pembinaannya berjumlah RM22.2 juta di tapak seluas 2.02 hektar itu, dijangka beroperasi awal September ini.

Beliau berkata, Klinik Kesihatan Jenis Dua itu, yang mula dibina Oktober 2017 dan siap sepenuhnya pada 29 Mac lepas, bakal menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira 38,000 penduduk di kawasan Batu Berendam.

Antara perkhidmatan yang akan disediakan ialah jabatan pesakit luar, klinik pergigian, klinik ibu dan anak, ruang farmasi dan makmal, unit kecemasan, unit pengimejan, selain mempunyai kuarters kakitangan.

Sumber : mykini

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending