Home Petua Tips Pilihan di tangan PM – Khaled Nordin

Pilihan di tangan PM – Khaled Nordin

189
0

KUALA LUMPUR ,UMN0 mempunyai banyak pilihan berhubung kemelut politik negara masa kini, termasuk mengukuh atau menumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN), tegas Naib Presidennya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Malah, ujarnya, pengaruh UMN0 juga boleh mempercepatkan pilihan raya umum sekiranya ia relevan dengan suasana masa kini.

Namun, Mohamed Khaled berkata, itu adalah pilihan terakhir buat UMN0 kerana kedudukan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

“UMN0 tidak akan memperjudikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umum demi suatu pilihan raya.

Keutamaan UMN0 ialah membentuk kerajaan yang benar-benar boleh mengurus negara yang berada dalam krisis.

“Dan untuk itu, UMN0 mahu ia dihormati sebagai rakan sebenar dalam kerjasama politik ini dan bukannya sekadar penyeri kepada PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyifatkan hubungan UMN0 dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘no trust, mutual respect only’ (tidak mempercayai, hanya saling menghormati), Mohamed Khaled berkata, UMN0 tidak pernah mempercayai Bersatu.

Ujarnya lagi, perasaan itu muncul sejak sekian lama kerana Bersatu telah ditubuhkan dengan hasrat untuk memusnahkan dan menggantikan UMN0.

“Tetapi apabila negara berada dalam keadaan yang gawat pada Februari lepas, UMN0 bertindak menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Hasrat UMN0 adalah untuk memberikan impetus atau lonjakan baru kepada kedinamikan Malaysia.

“Terutamanya dengan membawa pengalaman yang ada pada UMN0 bagi mentadbir semula negara setelah kerajaan Pakatan Harapan menggagalkan dirinya sendiri dan lari dari mandat mereka,” kata bekas Menteri Besar Johor itu lagi.

Namun, Mohamed Khaled berkata, kegelisahan UMN0 bersama Bersatu semakin terserlah, dan ‘mutual respect’ yang tersisa juga, semakin menipis.

UMN0, katanya lagi, telah beberapa kali menghantar isyarat yang terang lagi bersuluh kepada Perdana Menteri.

“UMN0 tidak perlu menjelaskan segala kegusarannya dengan lebih panjang lebar. Melainkan Perdana Menteri dan PPBM (Bersatu) sengaja untuk tidak memahaminya. Atau masih tetap mahu mengulang naratif yang sama.

Kononnya PPBM lah yang menyelamatkan UMN0 dan menjadikan UMN0 kerajaan.

“Sekalipun naratif itu tidak tepat, sekarang bukan masa yang sama untuk berperang dengan naratif dan perspektif. Sudah tiba masanya, untuk Perdana Menteri menilai dengan berani dan ikhlas, ke mana haluan Kerajaannya, natijah dari tindakan UMN0 kebelakangan ini,” katanya lagi.

Mohamed Khaled berkata, banyak pihak melihat kerajaan yang Muhyiddin pimpin waktu ini adalah sangat lemah dengan keanggotaan Kabinet yang seakan tidak berfungsi.

Tegasnya lagi, semua pilihan adalah di tangan Perdana Menteri, kerana beliau memahami apa yang UMN0 kehendaki dan beliau juga tahu apa yang UMN0 mampu lakukan.

Mohamed Khaled berkata, Perdana Menteri pastinya tahu bahawa keutamaan UMN0 ialah untuk terus cuba mempertahankan kerajaan yang sama-sama ia bentuk, jika perubahan radikal dapat dilakukan kepada kerajaan yang ada sekarang.

“Keutamaan UMN0 ialah kepentingan terbaik Malaysia. Dan jika itu juga keutamaan Perdana Menteri, beliau sewajarnya melakukan sesuatu dengan segera untuk merungkai kegelisahan yang UMN0 suarakan.

“UMN0 akan sentiasa menyokong keputusan yang baik. Jadi, pamerkanlah kepimpinan yang ikhlas, yang boleh menukarkan ‘mutual respect’ menjadi ‘trust’ yang sebenar. Kerana kita semua tahu. Trust is earned, not given,” katanya lagi.

Sumber : astroawani

Previous article‘Sokong Atau Tolak Anwr Perdana Menteri Baru’ Ku Li Dijangka Hadap Agong 2 Petang Bagi Keputusan
Next articleTinggalkan Lima Anak Dan Suami, Selepas 18 Hari Bertugas Positif Covid-19

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here