Home Petua Tips Instafamous ‘Rezeki Suami Datang Dari Redha Isteri’, Ini Kenyataan dari Pejabat Mufti...

Instafamous ‘Rezeki Suami Datang Dari Redha Isteri’, Ini Kenyataan dari Pejabat Mufti WP

336
0

Sebelum ini, viral video mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang instafamous berhubung ‘rezeki suami datang dari redha isteri’. Kenyataan dari instafamous itu bagaimanapun telah mendapat pandangan dari pelbagai pihak termasuk Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyarankan agar mana-mana individu untuk mendapatkan rujukan daripada yang lebih arif sebelum mengeluarkan kenyataan umum.

Boleh membawa salah faham

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tampil menjelaskan kenyataan tersebut dan menyifatkan ucapan perlu diperjelaskan kerana tanpa penjelasan lanjut akan menyebabkan salah faham.

Ucapan rezeki suami atau lelaki datang dari redha isteri boleh membawa salah faham jika tidak diperjelaskan dengan betul. Dari satu sudut, tidak dapat dinafikan bahawa pertambahan rezeki seseorang itu juga bergantung kepada hubungannya sesama manusia khususnya ahli keluarga.

Berlaku baik dengan ahli keluarga termasuk juga isteri adalah antara sebab rezeki diluaskan oleh Allah SWT. Ini yang disebutkan sebagai sebab dan musabbab. Ia juga sebagai satu motivasi agar para suami tidak mengambil ringan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

 

Jaga silaturrahim dengan ahli keluarga

Selain itu, terdapat banyak cara untuk menambahkan rezeki lain termasuk beristighfar dan bersedekah.

Biarpun rezeki suami tidak terletak pada redha isteri secara langsung, ia berkaita rapat dengan aspek menjaga hubungan silaturrahim sesama ahli keluarga.

Adapun rezeki suami atau lelaki bukanlah terletak pada redha isteri atau wanita secara langsung, namun ia berkait rapat dengan aspek menjaga silaturrahim dengan ahli keluarga atau ketaatan kepada ibu dalam perkara yang dibenarkan oleh syarak sebagai antara asbab keberkatan dan punca turunnya rezeki daripada Allah SWT seperti mana yang disebut di dalam hadith yang sahih

AL-AFKAR 113 : REZEKI SUAMI DATANG DARI REDHA ISTERI?
Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Maaf mengganggu masa ustaz. Baru-baru ini kecoh tentang kenyataan seorang instafamous yang menyebut bahawa rezeki suami atau lelaki datang dari redha isteri.Ini bukan kali pertama ustaz, sebelum ini saya banyak dengar daripada couch bisnes yang sebut benda yang sama. Adakah ini ucapan yang benar?. Saya lihat ramai wanita yang sebut-sebut perkara ini. Mohon pencerahan ustaz?

Jawapan ringkas :

Pada asasnya, Allah SWT adalah pemberi rezeki yang mutlak. Tiada siapa yang dapat menghalang sekiranya dikehendaki oleh-Nya, dan tiada pula sesiapa yang dapat memberi, sekiranya tidak diizinkan oleh-Nya.

Ucapan rezeki suami atau lelaki datang dari redha isteri boleh membawa salah faham jika tidak diperjelaskan dengan betul. Dari satu sudut, tidak dapat dinafikan bahawa pertambahan rezeki seseorang itu juga bergantung kepada hubungannya sesama manusia khususnya ahli keluarga. Berlaku baik dengan ahli keluarga termasuk juga isteri adalah antara sebab rezeki diluaskan oleh Allah SWT. Ini yang disebutkan sebagai sebab dan musabbab. Ia juga sebagai satu motivasi agar para suami tidak mengambil ringan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Adapun rezeki suami atau lelaki bukanlah terletak pada redha isteri atau wanita secara langsung, namun ia berkait rapat dengan aspek menjaga silaturrahim dengan ahli keluarga atau ketaatan kepada ibu dalam perkara yang dibenarkan oleh syarak sebagai antara asbab keberkatan dan punca turunnya rezeki daripada Allah SWT seperti mana yang disebut di dalam hadith yang sahih.

Wallahu’alam.

Huraian jawapan :

Perkara asas akidah yang wajib diketahui adalah Allah SWT adalah pemilik sebenar rezeki. Tidak ada yang boleh memberi atau menahan rezeki melainkan Allah SWT. Firman Allah SWT :

قُلْ مَن يَرْزُقُكُم مِّنَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ قُلِ اللَّـهُ ۖ

Maksudnya : “Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): “Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?” Terangkanlah jawabnya: “Ialah Allah…”[1]

Imam Fakhruddin Al-Razi apabila menafsirkan ayat 24 daripada Surah Saba’, beliau menyebut :

إِشَارَةً إِلَى أَنَّ جَرَّ النَّفْعِ لَيْسَ إِلَّا بِهِ وَمِنْهُ

“ (Ayat tersebut) memberikan isyarat bahawa tiada manfaat melainkan dengan izin Allah dan ianya datang daripada Allah”[2]

Setiap makhluk yang hidup termasuk haiwan, Allah telah menetapkan rezekinya. Allah SWT berfirman :

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّـهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ

Maksudnya : “Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”[3]

Ayat ini menjelaskan bahawa tiada satu pun makhluk yang diberikan kehidupan oleh Allah, kemudian dibiarkan tanpa ada jaminan rezeki. Al-Hafiz Ibn Kathir menyatakan :

أَخْبَرَ تَعَالَى أَنَّهُ مُتَكَفِّلٌ بِأَرْزَاقِ الْمَخْلُوقَاتِ، مِنْ سَائِرِ دَوَابِّ الْأَرْضِ، صَغِيرِهَا وَكَبِيرِهَا، بَحْرِيِّهَا، وَبَرِّيِّهَا،

Maksudnya : “Allah SWT memberitahu bahawa Dia menjamin rezeki kesemua makhluk termasuk kesemua binatang. Yang kecil, besar,di laut mahupun di darat.”[4]

Nabi SAW juga pernah menjelaskan berkenaan kejadian manusia. Setelah menjelaskan peringkat kejadian manusia, Nabi SAWw bersabda :

ثم يبعث الله ملَكًا فيؤمر بأربع كلماتٍ، ويقال له: اكتُبْ عمله ورزقه وأجله، وشقي أو سعيد، ثم ينفخ فيه الروح

Maksudnya : “…Kemudian Allah mengutuskan malaikat, lalu diperintahkan agar ditulis empat kalimah. Dikatakan kepada Malaikat : Tulis lah amalannya, rezekinya, ajalnya dan (pengakhirannya) sama ada duka atau gembira. Kemudian ditiupkan roh ke dalamnya…”[5]

Walaupun begitu, manusia dituntut untuk bekerja,berusaha dan beramal. Allah SWT berfirman :

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّـهِ وَاذْكُرُوا اللَّـهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya : “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”[6]

Nabi SAW bersabda :

إن الرِّزقَ ليطلُب العبدَ أكثرَ مما يطلبه أجله

Maksudnya : “Sesungguhnya rezeki mencari seseorang lebih banyak daripada ajal mencari seseorang.”[7]

Dalam ayat yang lain, Allah SWT menegaskan bahawa apa yang di langit mahupun di bumi adalah milik mutlak Allah SWT. Sifat tidak percaya bahawa Allah SWT bukan pemilik rezeki adalah sifat orang munafik. Pada ketika Nabi SAW masih hidup, mereka percaya bahawa Allah tidak menurunkan rezeki kepada golongan Muhajirin. Perkara ini ditempelak oleh Allah SWT.Allah berfirman :

وَلِلَّـهِ خَزَائِنُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَفْقَهُونَ

Maksudnya : “…Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendak-Nya); akan tetapi orang-orang yang munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).”[8]

Sheikh Dr Wahbah Al-Zuhaili menjelaskan berkenaan ayat ini :

أي إن الله هو الرزاق لهؤلاء المهاجرين، وبيده مفاتيح أرزاق العباد، يعطي من يشاء، ويمنع من يشاء، ولكن المنافقين يجهلون أن خزائن الأرزاق بيد الله، فظنوا أن الله لا يوسّع على المؤمنين.

“Iaitu sesunggguhnya Allah adalah pemberi rezeki kepada golongan Muhajirin. Dalam kekuasaan-Nya terkandung rezeki hamba-Nya. Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan juga menghalang rezeki daripada sesiapa yang Dia kehendaki akan tetapi orang Munafik yang jahil bahawa perbendeharaan harta sebenarnya milik Allah. Mereka menyangka bahawa Allah tidak meluaskan rezeki kepada golongan yang beriman.”[9]

Ayat ini seharusnya memberikan kefahaman kepada kita bahawa pemilik mutlak rezeki itu ialah Allah SWT. Tiada siapa yang mampu untuk menandingi Allah SWT. Walaupun tanpa redha sesiapa, jika Allah berkehendak untuk memberikan rezeki kepada hamba-Nya, tiada siapa yang dapat menghalangnya. Begitu juga sebaliknya.

Bahkan dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

وَلِلَّـهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ ۚ وَاللَّـهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya : “Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”[10]

Dalam ayat yang lain pula, Allah SWT berfirman :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّـهِ عَلَيْكُمْ ۚ هَلْ مِنْ خَالِقٍ غَيْرُ اللَّـهِ يَرْزُقُكُم مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ ۚ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ فَأَنَّىٰ تُؤْفَكُونَ

Maksudnya : “Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu; tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah; Ia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (dari menyembah-Nya)?”[11]

Imam Ibn Kathir menjelaskan ayat ini dengan ucapan yang begitu baik sekali. Beliau menyebut :

يُنَبِّهُ تَعَالَى عِبَادَهُ وَيُرْشِدُهُمْ إِلَى الِاسْتِدْلَالِ عَلَى تَوْحِيدِهِ فِي إِفْرَادِ الْعِبَادَةَ لَهُ، كَمَا أَنَّهُ الْمُسْتَقِلُّ بِالْخَلْقِ وَالرِّزْقِ

“Allah SWT memperingatkan hamba-Nya dan memberikan petunjuk bahawa ayat ini memberikan maksud agar mengesakan Allah dalam beribadat seperti mana juga sifat mencipta dan memberi rezeki adalah khusus bagi Allah.”[12]

Tidak mempercayai atau meragui bahawa Allah adalah pemilik rezeki sama sahaja seperti meragukan bahawa Allah adalah Pencipta alam. Ayat-ayat yang disebutkan adalah sebahagian petunjuk dan dalil bahawa Allah SWT adalah pemilik mutlak rezeki. Bukannya manusia. Allah penentu rezeki seseorang. Bukannya manusia.

Tidak dapat dinafikan bahawa rezeki adalah sumber kehidupan. Allah SWT menyediakan rezeki sebagai sumber dan bekalan dalam kehidupan seharian manusia. Ini dapat difahami menerusi firman Allah SWT :

وَلَقَدْ مَكَّنَّاكُمْ فِي الْأَرْضِ وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَايِشَ ۗ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ

Maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.”[13]

Namun, rezeki itu bukan hanya terhad kepada harta. Ketenangan dalam kehidupan adalah rezeki. Memperoleh anak yag soleh dan solehah adalah rezeki. Mendapat sahabat dan jiran yang baik adalah rezeki. Dikurniakan kecerdasan akal dan minda adalah rezeki. Dapat menunaikan ibadah dengan tenang dan baik adalah rezeki. Dijauhkan daripada bala bencana adalah rezeki. Ringkasnya, rezeki Allah itu luas dan merangkumi kesemua aspek kehidupan manusia.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, ucapan seperti rezeki lelaki atau suami datangnya dari redha isteri atau wanita adalah ucapan yang perlu diteliti. Tanpa penjelasan lanjut ianya boleh menimbulkan salah faham. Dari satu sudut, tidak dapat dinafikan bahawa pertambahan rezeki seseorang itu juga bergantung kepada hubungannya sesama manusia khususnya ahli keluarga.Ini yang disebutkan sebagai sebab dan musabbab. Nabi SAW bersabda :

مَنْ سَرَّهُ أَنْ ‌يُبْسَطَ ‌لَهُ ‌فِي ‌رِزْقِهِ، أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya : “Barangsiapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan ditambah hidupnya, maka sambunglah hubungan kekeluargaan.”[14]

Oleh kerana itu, Nabi SAW menyifatkan lelaki yang terbaik adalah orang yang melakukan kebaikan kepada ahli keluarganya. Nabi SAW bersabda :

خيركم خيركم لأهله

Maksudnya : “Orang yang terbaik dari kalangan kalian adalah orang yang melakukan kebaikan kepada ahli keluarganya.”[15]

Apa sahaja perkara yang dilakukan yang boleh meregangkan hubungan kekeluargaan boleh menyebabkan rezeki seseorang itu sempit. Termasuklah sifat bakhil atau kedekut dengan ahli keluarga. Oleh itu, Nabi SAW memberikan amaran berkenaan sifat bakhil. Nabi SAW bersabda:

‌إيَّاكم ‌والشُّحَّ، فإنما هَلَكَ مَن كان قَبلَكم بالشُّحِّ: أمرهم بالبُخلِ فبَخِلُوا، وأمرَهم بالقَطيعةِ فقَطَعُوا، وأمرَهم بالفُجُور ففَجَرُوا

Maksudnya : “Jauhilah sifat bakhil. Sesungguhnya orang sebelum kalian binasa disebabkan sifat bakhil. Ia membawa kepada sifat kedekut, mereka menjadi kedekut. Ia membawa kepada terputusnya hubungan kekeluargaan dan membawa kepada dosa.”[16]

Namun, para isteri juga perlu rasional agar tidak meminta sesuatu yang berada di luar kemampuan para suami.

Banyak juga cara lain untuk memperoleh dan ditambah rezeki. Antaranya :

Beristighfar dan memohon keampunan kepada Allah.Dosa dan maksiat adalah antara penghalang rezeki. Allah SWT berfirman :
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Maksudnya : “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; “Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”[17]

Nabi SAW bersabda :

مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا ، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا ، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

Maksudnya : “Barangsiapa yang sentiasa melazimi istighfar, Allah SWT menjadikan baginya setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap keluh kesah itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”[18]

Bersedekah. Allah SWT berfirman :
وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ

Maksudnya : “ dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya.”[19]

Imam Al-Syaukani menjelaskan bahawa ganti yang Allah berikan itu boleh jadi di dunia ataupun di akhirat. Beliau menyebut

وَذَلِكَ الْبَدَلُ إِمَّا فِي الدُّنْيَا وَإِمَّا فِي الْآخِرَةِ

“ Begitu juga ganti (Yang Allah janjikan) sama ada di dunia mahupun di akhirat.”[20]

Menanamkan sifat ketakwaan dalam diri. Firman Allah SWT :
وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

Maksudnya : “dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”[21]

Sheikh Tahir Bin ‘Asyur menjelaskan :

أَعْلَمَهُمَا اللَّهُ بِأَنَّهُ وَعَدَ الْمُتَّقِينَ الْوَاقِفِينَ عِنْد حُدُوده بِأَن يَجْعَلَ لَهُمْ مَخْرَجًا مِنَ الضَّائِقَاتِ

“ Allah memberitahu para suami dan isteri bahawa Dia menjanjikan orang yang bertakwa dan yang teguh berdiri di batasan yang Allah telah tetapkan, bahawa Allah akan memberikan mereka jalan keluar dari setiap kesempitan yang mereka hadapi.”[22]

Justeru, ucapan tersebut boleh membawa salah faham jika tidak diperjelaskan. Dari satu sudut, tidak dapat dinafikan bahawa pertambahan rezeki seseorang itu juga bergantung kepada hubungannya sesama manusia khususnya ahli keluarga.. Berlaku baik dengan ahli keluarga termasuk isteri juga adalah sebab rezeki diluaskan.Ini yang disebutkan sebagai sebab dan musabbab.Kepada para suami, jalankan tanggungjawab kepada isteri. Seorang suami bukan sahaja bertanggungjawab memberi nafkah atau mencari harta, akan tetapi juga bertanggungjawab mendidik isteri dan keluarga agar menjadi keluarga yang diredhai oleh Allah. Inilah kunci sebenar keberkatan dan punca turunnya rezeki daripada Allah SWT. Allah SWT berfirman :

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

Maksudnya : “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.”[23]

Wallahu’alam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook

Sumber: OHBULAN!

Previous articlePolis ‘mengorat’ pun nak suruh Rina Harun bersuara?Apa Citer Tu.
Next articleKnp Masa Ibu Kndung Amiir Dibawa ke Mhkamah, Polis Siap Bawa MachineGun. Ini Jawapan Peguam Yg Padu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here