- semasa

Ketua Hakim Negara Baru Datuk Tengku Maimun Sebak Bila Petik Surah An-Nisa Dan Ini Sebabnya

PUTRAJAYA 17 Mei – Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebak ketika memetik maksud dua potong ayat al-Quran daripada surah An-Nisa yang akan dijadikannya sebagai panduan ketika menerajui badan tertinggi perundangan negara itu.

Beliau memetik terjemahan ayat 58 dan 135 ketika berucap dalam majlis meraikan pelantikannya sebagai Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Kedua-dua ayat itu mengenai perintah Allah supaya menjalankan hukuman dengan adil sesama manusia, sentiasa menegakkan keadilan hatta terhadap diri sendiri, ibu bapa dan kaum kerabat serta bercakap benar ketika menjadi saksi.

“Dalam melaksanakan tugas, saya akan sentiasa berpegang kepada mesej daripada Surah An-Nisa ayat 58 dan ayat 135,” katanya sambil menahan sebak.

Tengku Maimun yang mencatat sejarah sebagai Ketua Hakim wanita pertama negara, turut menyatakan komitmen beliau untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang dan kebebasan institusi kehakiman sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan.

“ Kedaulatan undang-undang adalah asas kepada demokrasi. Kedaulatan undang-undang adalah asas dalam tadbir urus di mana setiap orang, institusi, entiti, swasta dan awam serta negara tertakluk kepadanya,” katanya.

Beliau berkata, dalam konteks kebebasan badan kehakiman, adalah penting bagi setiap hakim bebas menjalankan tugas mereka tanpa sebarang tekanan sama ada dari dalam mahupun luar.

Keadaan itu katanya, akan memberi keyakinan kepada sesiapa sahaja termasuk masyarakat awam bahawa kes-kes mereka akan diadili tanpa sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak sama ada Eksekutif, media, orang berpengaruh hatta dalam kalangan hakim sendiri.

“Dalam kata lain, ketika membuat keputusan, hakim-hakim bertanggungjawab terhadap diri mereka sendiri. Paling penting, keputusan yang dibuat bebas daripada sebarang pengaruh. Keadilan ditegakkan tanpa rasa takut dan pilih kasih,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan pihaknya akan terus bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara, Majlis Peguam dan lain-lain pemegang taruh.

Menurut Tengku Maimun, dalam negara bebas seperti Malaysia, badan kehakiman juga tidak boleh lari daripada dikritik oleh masyarakat.

Beliau bagaimanapun berkata, kritikan yang dibuat hendaklah dengan bertanggungjawab dan berdasarkan fakta.

Mengenai dakwaan salah laku membabitkan badan kehakiman, beliau meminta mana-mana pihak yang ada maklumat tampil membuat laporan termasuk menulis surat kepada beliau atau Presiden Mahkamah Rayuan atau mana-mana ketua hakim di Mahkamah Tinggi.

“Perlu diingat, sebarang kritikan tidak berasas kepada badan kehakiman akan hanya melemahkan institusi berkenaan, selain menghilangkan keyakinan masyarakat,” katanya.

Video

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih,Kekasih Jiwang

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Kekasih Jiwang

sumber : utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *