- AGAMA

Terbaik Didik Empat anak bergelar hufaz

SETIAP ibu bapa tentu saja mengimpikan untuk memiliki penyambung keturunan yang bukan saja cemerlang dalam akademik, malah turut berupaya menghafaz al-Quran.

Ia bukanlah satu impian mudah terutama untuk memastikan anak mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran sekali gus membentuk keperibadian terpuji pada diri si kecil tersayang. Semua itu dijadikan pemangkin semangat buat pasangan suami isteri, Nurul Hasnita Taharim dan Prof Madya Dr Pakharuddin Mohd Samin dalam mendidik empat daripada lima cahaya mata untuk bergelar hufaz. Memulakan bicara, Nurul Hasnita berkata, kesibukan harian dia dan suami tidak menjadi penghalang merealisasikan impian murni itu.

“Impian ini bermula daripada diri kami sendiri. Saya dan suami banyak menyertai kelas pengajian agama dan motivasi. Bermula daripada itu, kami tekad memberikan pendidikan agama terbaik untuk anak.

“Syukur, anak tidak membantah, namun sebagai ibu bapa, kami tidak memaksa dan dalam masa sama secara perlahan-lahan menerangkan kepada mereka mengenai ilmu akademik dan ilmu agama,” katanya.

Menurutnya, dia amat bersyukur kerana empat cahaya mata lelakinya, Daaris Fariduddin Pakharuddin, 14; Daaris Aqiel Eddin, 10; Daaris Raef Eddin, 8, dan Daaris Rizqi Eddin, 6, kini dalam proses bergelar hufaz dan pada masa sama turut mempunyai ilmu akademik.

“Kami mempunyai lima anak lelaki dan empat daripadanya bersekolah di Akademi Darul Huffaz di Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru, Johor manakala seorang lagi iaitu Daaris Zaim Eddin yang berusia 12 tahun kini belajar di Sekolah Kebangsaan Taman Universiti dalam kelas pendidikan khas.

“Pastinya sayalah ibu paling bahagia apabila anak sedang berusaha menghafaz al-Quran dan untuk itu, saya dan suami berusaha memberikan yang terbaik kepada mereka,” ujarnya.

Nurul Hasnita berkata, keempat-empat cahaya matanya bersekolah bermula jam 7.30 pagi sehingga 5.30 petang setiap hari.

“Akademi menyediakan asrama, namun saya dan suami memilih untuk berulang-alik bagi bersama-sama membantu proses menghafaz anak. Bagi saya, semua ini perlukan kerjasama daripada semua pihak terutama ibu bapa.

“Saya mahu mereka (anak) sentiasa berada dalam keadaan selesa dan membesar di depan mata saya sendiri. Melalui cara ini saya dan suami dapat menegur salah silap anak,” katanya.

Tambahnya, dia amat bersyukur proses mendidik anak bergelar hufaz dipermudahkan dan semua anaknya turut berubah ke arah lebih baik hari demi hari.

“Saya tidak lagi perlu mengingatkan soal solat kepada mereka. Walaupun masih kecil sampai saja waktu solat mereka akan solat berjemaah. Anak juga semakin ringan tulang, mereka sudah tahu tugas masing-masing dan rajin membantu saya di rumah.

“Saya yakin semua ini adalah berkat ilmu agama dan bacaan al-Quran setiap hari yang menerangkan jiwa mereka. Namun dalam keterujaan ini, saya dan suami masih mengingatkan anak supaya turut fokus dalam mata pelajaran akademik,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

RUTIN harian Nurul Hasnita menghantar empat anaknya ke Akademi Darul Huffaz setiap hari.

JAGA PELBAGAI ASPEK

Menyentuh soal pemakanan, Nurul Hasnita berkata, semua anaknya tidak makan organ dalaman haiwan seperti hati, pedal, limpa dan paru-paru.

“Sejak kecil memang saya cuba jaga pemakanan anak kerana saya yakin semua ini penting demi memastikan minda dan badan mereka sentiasa cergas.

“Saya juga mengelak memberikan makanan segera, snek dan makanan ringan kepada anak dan berusaha masak sendiri setiap hari. Dalam masa sama, saya berikan mereka makanan tambahan untuk minda,” katanya.

Menurutnya, dia juga perlu menyusun semua jadual hariannya supaya dapat membahagikan masa sebaiknya untuk mereka.

“Saya akan pastikan ada masa untuk mereka. Saya memasak sendiri sajian keluarga dan bersama-sama mengulangkaji pelajaran, mengaji dan menghafaz al-Quran ketika di rumah.

“Saya yakin, peranan ibu dan bapa sangat penting untuk melahirkan anak yang cemerlang dalam semua aspek termasuk sahsiah diri,” ujarnya.

Nurul Hasnita berkata, cabarannya pasti ada dalam melahirkan anak hufaz, namun dia tidak mahu me­nyerah kalah.

“Saya dan suami banyak berbincang, kami juga saling bekerjasama dalam urusan mendidik anak juga urusan di rumah memandangkan saya juga perlu menguruskan spa dan butik.

“Kini, kami fokus dalam membantu anak menjadi hufaz seterusnya melanjut­kan pengajian mereka ke Universiti Al-Azhar. Besar harapan kami untuk semua anak berjaya dalam ilmu dunia dan akhirat,” katanya.

Tambahnya, selain memasang impian melihat anak tersayang dapat menghafaz al-Quran, dia juga mahukan mereka membesar sebagai individu soleh, sayangkan ibu bapa dan keluarga serta berjaya di dunia juga akhirat.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Ya. Newsviral

sumber : riverbed .me

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *