SELEPAS sembilan tahun tidak muncul dengan lagu bergenre balada, akhirnya penyanyi Stacy tampil dengan single baharu berjudul Peluk.
Stacy atau nama sebenar Ummu Shaikhah Stacy Anam, 30, berkata lagu hasil ciptaan bersama suami yang juga penyanyi Akim Ahmad ini cukup istimewa hingga berjaya menyentuh emosinya.
“Selepas sembilan tahun tak keluar lagu balada, Alhamdulillah tahun ini saya melancarkan single Peluk. Sejujurnya, apabila lama tidak menyanyikan lagu bergenre balada, memang gementar dan ia sangat berbeza ketika merakamkan lagu Pelangi Senja yang mana waktu itu saya masih bujang.
“Untuk lagu ini mudah saja nak dapatkan penghayatan dan feel. Dengar saja melodi, tanpa disedari saya menangis. Feel itu terlalu dekat dan kena karakter diri sendiri.
“Saya menyanyi dari dalam jiwa! Itu yang membuatkan saya sampai menangis…. menyanyikan lagu ciptaan orang lain dengan lagu ciptaan sendiri memberikan feel yang berbeza,” katanya.
Peluk adalah bauh tangan terbaharu Stacy untuk peminat.
Kali terakhir Stacy muncul dengan lagu bergenre balada ialah pada tahun 2012 menerusi lagu Pelangi Senja.
Sementara itu, Stacy berkata lagu ini merupakan buah tangan terbaharu buat peminat yang sabar menantikan kemunculannya menyanyikan lagu balada.
“Sesekali bertukar genre apa salahnya, lagi pula projek ini memang menarik, jadi saya tak menolak… peminat pun sudah lama tunggu dan rindukan lagu balada daripada saya.
“Lagu ini juga memberi cabaran kepada saya semasa proses rakaman, saya kena faham maksud lirik dan melodi. Kalau nak tahu ada pertukaran lirik pada saat akhir.
“Malah lagu ini juga antara paling lama dirakam iaitu dalam empat ke lima jam. Kebiasaannya dalam dua jam saja untuk lagu-lagu sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Stacy turut meluahkan rasa terharu dan teruja apabila single berkenaan dilancarkan serentak dengan lagu Bayang nyanyian Akim Ahmad.
Peluk merupakan lagu hasil ciptaan bersama suami, Akim Ahmad.
“Ini kali pertama saya dan Akim keluar lagu serentak. Akim pula selepas lima tahun bersama Akim & The Majistret baru muncul dengan single solo dan saya pula kembali menyanyikan genre balada.
“Apa yang saya boleh kongsi, terlalu banyak perbezaan dan istimewanya lagu ini kepada saya kerana inilah kali pertama saya menyanyikan lagu balada dengan seluruh feel.
“Lebih-lebih lagi selepas mendapat banyak tunjuk ajar daripada Akim dalam menyelami bidang penulisan lagu,” ujarnya.
Lagu ciptaan Bunga Cantik iaitu dirinya sendiri dan lirik oleh Hang Nadim (Akim) dan Bunga Cantik diterbitkan oleh Nova Music telah dilancarkan pada 13 April lalu.
Ia boleh didengari di semua platform digital dan saluran YouTube Nova Music Video.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook
Sumber : https://www.mstar.com.my/