BUAT pertama kalinya, peminat penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akan dapat melihat idola kesayangan mereka menumpahkan air mata kesedihan dan melempiaskan amarahnya dalam filem dokumentari Siti: Are You Ready?
Filem dokumentari berkenaan adalah realiti perjalanan pembikinan Konsert Dato’ Sri Siti Nurhaliza on Tour yang diadakan di tiga buah negara, Malaysia, Indonesia dan Singapura, dua tahun lalu.
Menurut Siti, konsert tersebut meninggalkan banyak memori suka duka yang selama ini peminat dan orang di luar lingkungan seni tidak pernah tahu.
Tambahan ketika konsert tersebut diadakan, Siti baru sahaja bergelar ibu kepada anaknya, Siti Aafiyah yang belum pun berusia setahun.
Sungguhpun begitu, demi cintanya terhadap muzik dan kasih sayang kepada peminat, beliau cekal mengharungi pelbagai cabaran yang bukan semua orang mampu melaluinya kecuali insan bernama Siti Nurhaliza.
“Melihat sendiri diri saya dalam filem dokumentari ini seperti satu perkara yang baharu dan sangat istimewa. Filem dokumentari ini mengabadikan segala momen-momen yang saya sendiri tidak percaya saya mampu lakukan.
“Semua yang saya lakukan adalah sebab kasih sayang dan cinta terhadap seni. Paling penting dalam setiap perjalanan konsert tersebut adalah sokongan insan-insan yang hebat dalam hidup saya.
Sokongan mereka menyebabkan saya mampu menyelesaikan konsert tersebut dengan jayanya,” tutur Siti.
Paling menarik, selain dapat melihat tumpahan air mata kesedihan Siti, peminat juga akan menyaksikan bagaimana penyanyi lagu Cindai itu melepaskan amarahnya.
Hakikatnya, Siti juga manusia biasa yang turut mempunyai emosi sama seperti orang lain.
Meski dilihat selalu memberi senyuman manis, adakalanya beliau juga gagal untuk mengawal emosi, antaranya apabila melibatkan soal reputasi.
“Saya bukanlah orang yang garang, jika lihat dalam filem dokumentari tersebut, begitulah cara saya marah.
“Selebihnya, saya akan memberi isyarat kepada pengurus iaitu Kak Rozie, tanda saya tidak setuju mahupun selesa dengan sesuatu perkara.
“Sejujurnya, membikin filem dokumentari ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana daripada 72 jam visual yang dirakam harus ditapis menjadi 80 minit sahaja.
“Saya berharap penonton dapat melihat kerja-kerja orang di belakang tabir sebuah karya seni dan menghargai penat lelah mereka,” ujar Siti.
Konflik
Siti secara terbuka berkongsi momen suka duka, antaranya apabila konsert di Jakarta, Indonesia yang hampir dibatalkan kerana pembelian tiket kurang memberansangkan.
Masalah berkenaan timbul kerana pihak yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja promosi di Indonesia tidak menjalankan tugas sehabis baik.
“Saya ke Jakarta lebih awal daripada perancangan asal. Saya juga minta pertolongan rakan-rakan artis di Indonesia untuk promosikan konsert dalam Instagram mereka.
“Saya cuba sehabis baik, suami pun bersama-sama fikirkan yang terbaik termasuklah mengeluarkan bajet untuk masuk iklan di radio di Indonesia.
“Selain itu, saya juga pergi ke semua stesen radio dan televisyen yang boleh membantu untuk tujuan promosi.
“Alhamdulillah pada hari konsert stadium penuh dengan peminat dan semuanya berjalan dengan lancar,” kongsi Siti tentang cabaran yang dihadapinya.
Ibu kepada sepasang cahaya mata itu berharap filem dokumentari Siti: Are You Ready? dapat membuka mata banyak pihak tentang cabaran yang dilalui insan seni sepertinya.
Beliau juga berharap filem dokumentari arahan peminatnya, M. Azhar dan Anz Izwan itu akan memberi inspirasi bukan sahaja untuk anak seni, bahkan buat semua wanita bergelar ibu, tetapi dalam masa sama terpaksa menggalas pelbagai tanggungjawab lain.
“Persiapan awal penting dalam pembikinan sebuah konsert. Ini satu kisah benar yang dipaparkan. Sebelum ini orang luar sana melihat kami di atas pentas dalam masa satu jam dengan penuh kagum,” jelas Siti yang ditemui pada majlis sidang akhbar filem dokumentari berkenaan di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.
Khazanah
Melihat kembali dirinya dalam filem dokumentari tersebut, penyanyi lagu Anta Permana itu meluahkan kesyukuran kerana dapat melalui perjalanan istimewa yang boleh dikenang pada masa depan.
“Pelbagai perasaan bercampur-baur melihat filem dokumentari ini akhirnya dapat disiapkan. Walaupun sudah banyak melakukan konsert, penonton akan melihat saya sendiri berasa gementar setiap kali sebelum melakukan persembahan.
“Saya sendiri tidak menyangka dapat melakukan konsert ini. Tidak sangka filem dokumentari ini dirakam oleh peminat saya sendiri. Mereka sangat berpotensi dalam pengarahan.
“Saya berharap filem dokumentari Siti: Are You Ready? akan menjadi satu khazanah dan rujukan buat anak seni muda untuk berjaya,” tutur Siti.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim yang merupakan penerbit eksekutif filem dokumentari ini menjelaskan, sudah menjadi adat setiap produksi besar berdepan dengan pelbagai masalah.
Tambahan produksi konsert berkenaan melibatkan tiga buah negara, justeri dia berharap filem dokumentari ini akan membuka mata banyak pihak terutama pihak penaja yang selalu memperkecilkan bakat anak seni tempatan.
Dalam filem dokumentari ini turut dipaparkan momen pihak penaja yang menarik diri pada saat-saat akhir.
“Jika dilihat apa yang kami lakukan, saya percaya produksi untuk Konsert Dato’ Sri Siti Nurhaliza on Tour setaraf dengan produksi antarabangsa atau lebih daripada itu,” tutur Shirazdeen yang merancang untuk menyiarkan filem dokumentari berkenaan menerusi Netflix pada masa depan.
Sumber : kosmo
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Cepat Berita
Sumber : https://www.malaysiatime.me/