Pasti setiap tahun menjelang Hari Raya Aidilfitri, kita akan ternanti-nanti pengumuman raya dari Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Penentuan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ditentukan melalui penampakan anak bulan. Anak bulan dicerap menggunakan teleskop dan sekiranya kelihatan maka ia menandakan kita telah memasuki bulan Ramadan atau Hari Raya Aidilfitri.
Tapi sebenarnya di Malaysia, sebelum adanya teknik pencerapan anak bulan ni, pengumuman hari raya dilakukan berasingan bagi setiap negeri. Sebab tu ada sejarah di mana negeri Perak dan Johor sambut Hari Raya Aidilfitri awal sehari dari negeri-negeri lain, dan waktu dahulu, tarikh Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri selalu tak sama dengan negara-negara jiran walaupun bersebelahan je.
Sejarah melihat anak bulan bermula di Johor pada tahun 1933 yang diketuai oleh Datuk Al Syed Salaim bin Syed Hassan Al-Attas. Menara Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru yang kebetulan terletak di tepi pantai dijadikan lokasi untuk melihat anak bulan pada waktu itu. Sebelum adanya kerjasama dengan Jabatan Ukur, amalan melihat anak bulan hanya dilakukan dengan mata kasar.
Sebab itulah tempat-tempat melihat anak bulan dilakukan di sekitar dataran tinggi dan tepi pantai di mana matahari terbenam dapat dilihat. Bermula dari situ, penentuan puasa dan Hari Raya semata-mata bergantung kepada amalan melihat anak bulan. Kalau bulan tidak kelihatan atas faktor cuaca, maka esoknya digenapkan terus kepada 30 hari.
Bila Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam ditubuhkan, bermula tahun 1972, penentuan tarikh penting bagi umat Islam ini ditentukan melalui pencerapan anak bulan dan juga kaedah kiraan kedudukan anak bulan. Jika atas faktor cuaca anak bulan tidak kelihatan, maka kaedah kiraan akan digunakan di mana anak bulan telah melepasi 8 jam selepas matahari terbit. Kaedah ini berjalan dengan sempurna sehinggalah pada tahun 1977 di mana Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam menerima rumusan dari Seminar Pentadbiran Undang-undang Jenayah dan Keluarga Islam yang diadakan di Kedah, menyatakan tarikh puasa dan Hari Raya hanya boleh ditentukan dengan kaedah melihat anak bulan sahaja.
Baca juga: Betul Ke Syaitan Diikat Sepanjang Bulan Ramadan?
Kesan daripada rumusan untuk menggunakan kaedah melihat anak bulan sahaja, maka negara kita pada ketika itu selalu lewat sehari berpuasa dan raya dari negara jiran lain. Bila bulan tidak kelihatan, maka Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam akan mencukupkan bulan tersebut kepada 30 hari. Sedangkan di dalam bulan Islam, kita akan berselang antara 29 dan 30 hari. Pada zaman Rasulullah s.a.w pun selama tempoh 10 tahun berpuasa, hanya sekali je baginda berpuasa selama 30 hari.
Kemuncak kepada kontroversi ini adalah pada tahun 1981 apabila kerajaan menetapkan penentuan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri hanya ditentukan melalui kaedah melihat anak bulan semata-mata. Pada tahun tersebut, jika mengikut kaedah kiraan, bulan Ramadan akan jatuh pada 2 Julai 1981, tetapi atas faktor kelewatan rombongan melihat anak bulan dan jugak faktor cuaca yang agak buruk, bulan Ramadan diiystiharkan jatuh pada 4 Julai 1981. Hal ini telah menimbulkan masalah semasa menentukan hari raya pada tahun yang sama. Jelas Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri lewat sehari pada tahun 1981 berbanding negara jiran seperti Thailand dan Singapura. Pada tahun 1984, kedua-kedua kaedah menentukan tarikh Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri digunakan semula.
Baca juga: Budaya² Makan Pelik Yang Wujud Di Dunia
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Cepat Berita
Sumber daripada: Al-Ahkam