Home Petua Tips Selepas Anak Tak Sengaja Rakam Ayah Mkn Nasi Tanpa Lauk. Si Ayah...

Selepas Anak Tak Sengaja Rakam Ayah Mkn Nasi Tanpa Lauk. Si Ayah Akhirnya Tampil Dedah Perkara Sebenar

144
0

Hubungan antara anak dan ayah mahupun ibu sememangnya satu ikatan kasih yang murni dan berpanjangan sepanjang hidup.Ini yang berlaku pada keluarga Ngah Misnum bila
satu video yang diambil oleh anaknya mendapat perhatian ramai.

” Saya terharu dengan keprihatinan ramai tetapi saya tidak meminta simpati cuma berharap mereka mendoakan saya supaya terus diberi kesihatan mencari rezeki bagi menyara anak,” kata bapa tunggal, Ngah Misnum.

Ngah, 36, memberi reaksi itu selepas video kemesraannya dengan anak tunggal, Nik Aswan, 10, mendapat perhatian warganet.

Salah satu perkongsian yang meraih tontonan tinggi ialah video Nik Aswan datang kepada bapanya yang sedang makan.
Menerusi video itu, kelihatan Ngah makan nasi putih tanpa lauk dan terus berlari ke dapur sebaik menyedari anaknya yang mesra disapa Adik membuat rakaman dengan telefon bimbit.

Rata-rata warganet tersentuh dengan video berkenaan selain menyifatkan Ngah sebagai bapa yang penyayang.

Ngah yang menetap di Kuala Nerus, Terengganu berkata, dia sudah dua kali berumah tangga namun perkahwinannya kecundang di pertengahan jalan.

Ngah menerima ketentuan takdir dan bersyukur kerana dikurniakan Nik Aswan hasil perkahwinan dengan isteri pertamanya.

” Saya berpisah dengan isteri pertama ketika Adik berumur setahun lebih dan sejak itu, saya yang menjaganya hingga kami jadi rapat dan tidak boleh berenggang.

” Pada Julai 2014, saya berkahwin kali kedua tetapi perkahwinan itu hanya bertahan selama lima tahun sebelum berpisah pada 18 November 2019.

” Selepas berpisah, saya dan Adik tinggal bersama emak tetapi saya mengambil keputusan berpindah ke rumah sewa sejak Mac tahun lalu kerana mahu hidup berdikari,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Demi kelangsungan hidup, Ngah mengambil upah sebagai tukang potong rumput iaitu pekerjaan yang dilakukannya sejak berusia 15 tahun.

Namun, cabaran Ngah adalah terpaksa meninggalkan anaknya bersendirian di rumah ketika keluar bekerja.

” Memang risau meninggalkan Adik bersendirian di rumah tetapi saya terpaksa demi mencari rezeki.

” Disebabkan itu, saya membelikan telefon bimbit dengan elaun bulanan diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya dapat berhubung dengannya ketika berada di luar.

” Adik tidak pandai memasak tetapi dia tahu bagaimana melakukan kerja rumah seperti mencuci pinggan dan mengemas rumah. Jadi, sebelum keluar bekerja saya akan pastikan makanan Adik sudah tersedia,” katanya.

Ngah mengakui pendapatannya tidak menentu terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun dia tetap akan berusaha mencari wang bagi menampung keperluan anaknya.

” Sebenarnya, ada dua sebab saya pilih hidup berdikari, pertama kerana enggan menyusahkan keluarga.

” Kedua kerana saya mahu belajar tunaikan amanah Allah (anak) dan membuktikan seorang ayah mampu membesarkan anak sehingga ke menara gading. Semoga impian saya itu termakbul,” katanya.

Berhubung video yang tular di laman sosial, Ngah berkata, dia dan anaknya berkongsi akaun TikTok yang sama.

” Saya tahu Adik ada merakam video itu (video makan nasi) cuma tak sangka dia akan memuat naiknya di TikTok.

” Tiada niat pun untuk meraih simpati sesiapa kerana saya bersyukur dengan apa yang ada.

” Malah, saya menganggap diri saya sudah ‘kaya’ dan bahagia setiap kali berada di rumah kerana melihat Adik ada di depan mata,” katanya yang juga pernah aktif sebagai pemain dikir barat .

Ditanya sama ada dia ada keinginan berkahwin lagi atau sebaliknya, Ngah berkata, dia menyerahkan soal jodoh kepada Allah.

” Jodoh, ajal m4ut adalah ketentuan dan rahsia Allah.

” Kita tidak tahu bila ia akan tiba jadi jika ada wanita yang sanggup menerima anak, mungkin ya (berkahwin lagi).

” Namun buat masa ini saya bahagia hidup berdua bersama Adik. Lagipun, Adik masih kecil dan ada lagi perkara lebih penting perlu diselesaikan iaitu mendapatkan status kerakyatan baginya yang dilahirkan di Thailand,” katanya.

Sumber : harianmetro

Previous articleBila Muat Naik Foto Terkini.Mata Lebam Jadi Tanda Tanya,Ini Jawab Hana Azraa
Next articleAku doakan kau kena Covit.Viral Video Seorg Wanita Mrh Pemandu Lain akhirnya Tampil Mohon Maaf

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here