DUGAAN di alam pertunangan semestinya sudah lazim kita dengari.
Namun, apa yang lebih menyedihkan apabila ikatan pertunangan terputus di tengah jalan.
Itulah yang terjadi kepada Siti Nur Alia Najwa Zainal, 23, yang terpaksa menanggung rasa kecewa kerana tunangnya bersikap acuh tidak acuh dalam hubungan mereka.
View this post on Instagram
Mesra disapa Alia, gadis ini menceritakan kenapa dia memilih untuk meleraikan ikatan pertunangannya yang sudah terjalin selama hampir dua tahun itu.
“Saya bertunang 25 Julai 2020 dan sepatutnya kami kahwin awal selepas bertunang. Saya dengan dia dah lebih empat kali tangguh. Dulu saya pernah diamkan diri dan minta dilepaskan sebab dia nak tangguh lagi.
“Beberapa bulan lepas tu dia datang merayu minta peluang. Kali ni saya bagi peluang, borang kahwin semua dah siap. Baju dan make-up saya dah tempah, pelamin dah booking, photographer pun dah ada. Tapi masih berulang lagi, dia minta tangguh lagi jadi saya terkilan dan terus diamkan diri lagi.
“Tapi sebab masih sayang saya terima pujuk rayu dia. Sedangkan masa tu orang keliling marah tapi saya anggap manusia boleh berubah. Saya bagi peluang dan suruh dia sendiri tetapkan tarikh untuk nikah. Jadi kami bersetuju dengan tarikh 18 Februari 2022,” jelasnya.
Gadis ini menangguhkan perkahwinannya empat kali sejak bertunang dua tahun lalu.
Bagaimanapun menurut gadis yang menetap di Sungai Petani, Kedah ini, peluang ini tetap disia-siakan lelaki itu.
Alia yang bekerja di gedung pakaian Jakel Sungai Petani, Kedah ini, berkata dia mengambil keputusan untuk menamatkan kesengsaraannya dengan memutuskan hubungan mereka yang mana dirinya diibaratkan gantung tidak bertali.
Berat saya dah turun sampai 16 kilogram. Daripada 62 kilogram sekarang tinggal 46 kilogram saja.
ALIA
Menurut gadis ini lagi, sepanjang tempoh perkenalan, mereka jarang berjumpa seperti pasangan kekasih lain kerana pemuda berkenaan merupakan seorang anggota beruniform di Sabah.
“Walaupun sepatutnya kahiwn bulan Ogos 2021 lagi tapi tetap ditangguhkan sebab dia masih main tarik tali. Sampai bulan Disember tahun lepas saya masih tanya ‘jadi atau tak?’. Bila dah tak ada jawapan, saya pun give up.
“Akhirnya saya dah tak boleh terima jawapan tak bersungguh dia. Saya dah makan hati banyak sangat. Berat saya dah turun sampai 16 kilogram. Daripada 62 kilogram sekarang tinggal 46 kilogram saja sebab makan hati berulam jantung.
“Saya fikir semua ni tak baik untuk diri saya juga. Mental saya dah down teruk. Depan keluarga saya tetap tunjuk kuat. Saya pun anggap saja kami dah tak ada apa-apa.
“Rupa-rupanya saya dapat tahu memang dia beritahu keluarganya yang kami tak ada apa-apa dah. Setelah dua tahun bertunang, macam ni saja hubungan kami berakhir. Saya cuba kuatkan hati dan terima kenyataan ni,” ujarnya dengan nada sayu.
Berat Alia sudah turun dari 62 kilogram kepada 46 kilogram.
Menceritakan dengan lebih lanjut mengenai video yang dimuat naik oleh teman akrabnya, dia tidak menyangka rakaman mereka berdua menangis selepas membakar borang nikah itu menjadi tular.
Imbas Alia, sahabatnya Nur Shahidatul Syafika Mohd Sabri, 23, sentiasa ada bersama sejak mereka di bangku sekolah lagi 11 tahun yang lalu.
“Saya bernasib baik ada sahabat yang seorang ni. Kami berkawan dari umur 12 tahun jadi semua pasal saya dia saja tahu. Dia yang ada dengan saya masa sedih dan gembira.
“Masa hari bakar borang nikah tu, saya keluar dengan dia. Mula-mula tu kami cuma nak pergi berjalan saja sebab saya tak nak fikirkan mengenai tarikh yang sepatutnya menjadi hari bahagia saya.
“Saya dah tak kuat nak nangis masa tu. Saya minta kawan saya teman bakar borang nikah tu dekat Jeti Semeling. Saya set dalam kepala, selepas bakar borang tu, saya tak nak bersedih sebab dia dah walaupun masa rekod video lepas tu saya nangis lagi.
“Saya saja rekod dan upload video tu sebagai kenangan dan sebagai tanda saya hargai sahabat saya. Dia sanggup teman dan nangis sama-sama kenangkan nasib malang saya. Saya tak pernah nangis depan keluarga sebab abah cakap saya anak yang kuat jadi saya cuba buktikan dengan sorok depan keluarga,” katanya.
Alia (kiri) ditemani rakan karibnya, Nur Shahidatul Syafika semasa membakar borang pernikahannya.
Alia kini pasrah dengan dugaan yang menimpa dirinya dan berusaha menguatkan diri menerima kenyataan.
Ditanya apakah masih ada harapan untuk dia dan bekas tunangnya kembali bersama, kata Alia tentu tidak kerana sudah serik berdepan dengan penantian yang tidak ada jawapan.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Cepat Berita
Sumber : mStar